Attention:

Members please update your information....

Click here to update!

Thursday, September 17, 2009

TINGKATKAN AMAL PADA 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN

TINGKATKAN AMAL PADA 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN


اَلْحَمْدُ للهِ الْقَائِلِ :


أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْن.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْـتُمْ مُسْلِمُوْن.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Marilah kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan mengerjakan segala suruhannya dan menjauhkan diri dari melakukan segala larangan-Nya. mudah-mudahan usaha dan amal kita ini dibalas oleh Allah dalam bentuk kejayaan hidup di dunia dan ganjaran syurga di akhirat. seterusnya diampunkan dosa-dosa kita yang terdahulu.

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA

Sedar tidak sedar, kini kita sudah berada dipenghujung bulan Ramadan, ada baiknya jika kita renungkan kembali, apakah kita pasti bahawa ibadah puasa yang telah kita lakukan selama ini telah diterima oleh Allah? Apakah kita masih melakukan perkara-perkara yang mencacatkan pahala puasa? Apakah puasa kita layak diberi ganjaran pahala oleh Allah? atau kita hanya mendapat lapar dan dahaga tanpa sebarang pahala?.

Sesungguhnya hanya diri kita sendiri yang dapat menilai kualiti ibadah puasa yang telah kita lakukan. Ini kerana ibadah puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ اِيْمَاناً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ".

Maksudnya : " Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu " .

( H.R. Bukhari dan Muslim )

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHANI SEKALIAN ¡

Salah satu hikmah diwajibkan berpuasa adalah untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 183 :


Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa " .

Berdasarkan Firman Allah ini, jelaslah kepada kita bahawa kesan puasa bagi orang yang beriman ialah bertambah ketakwaan kepada Allah. Justeru, setelah hampir sebulan kita berpuasa, apakah kita merasai takwa kita bertambah atau berkurang?. Apakah jiwa kita semakin bersemangat membanyakkan amal ibadah atau jiwa kita semakin lalai dan meringankan ibadah?. Apakah pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan ini, kita semakin banyak membaca al-Quran, banyak bersedekah, beriktikaf, banyak berzikir dan beristiqfar ? ataupun pada sepuluh hari terakhir Ramadan ini, kita habiskan masa dengan membeli-belah, membuat persiapan hari raya yang berlebihan, meninggalkan sembahyang terawih, kurang membaca al-Quran dan berbual-bual kosong sehingga melupakan kelebihan di akhir Ramadhan?.

HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA ¡

Adalah sungguh bijak bagi kita merebut segala peluang yang Allah sediakan pada hari-hari terakhir Ramadan daripada kita mensia-siakan baki sepuluh akhiar Ramadan. Ini kerana kita tidak pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak menyambut Ramadan pada tahun hadapan. Kerana sesungguhnya Allah telah menyediakan satu malam yang nilai keberkatan dan ganjaran pahala pada malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah dalam surah al-Qadar :


Maksudnya : " Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar? malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut ) . Sejahteralah malam ( yang barakah ) itu hingga terbit fajar " .

(Surat al-Qadar ayat :1-5 )

Kita akan merasa kesal jika mensia-siakan peluang keemasan yang Allah sediakan kepada kita iaitu malam Lailatul Qadar. Kerana segala amal ibadah yang dilakukan pada malam tersebut, ganjaran berlipat kali ganda. Janganlah kita seolah-olah merasakan amal ibadah kita telah banyak sehingga mengabaikan malam tersebut. Malam Lailatul Qadar adalah malam untuk kita melipatgandakan amal ibadah dan mengumpul sebanyak-banyaknya pahala sebagai bekalan ketika bertemu Allah di akhirat kelak. Sedangkan Rasulullah s.a.w. . Sendiri menanti-nanti malam tersebut dan melipatgandakan amalan Baginda, inikan lagi kita sebagai hamba yang banyak melakukan dosa dan sedikit amal. Dalam sebuah Hadis ada menyatakan bahawa Saidatina Aisyah r.a. berkata :

"كَانَ النَِّبيُّ (ص) إِذاَ دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْياً لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ".

( Hadis riwayat bukhari )

Maksudnya : " Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga " .

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHANI SEKALIAN ¡

Lailatul Qadar adalah malam yang dianugerahkan kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w. dan tiada siapa yang tahu bila berlakunya malam tersebut walau diri Baginda sendiri. Sungguhpun demikian, Baginda menasihatkan umatnya supaya sentiasa memperbanyak dan mempertingkatkan amal ibadah khususnya pada malam-malam ganjil pada akhir Ramadan. Sabda Baginda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari :

"تَحَرَّواْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ".

Maksudnya : " carilah malam Lailatul Qadar pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadan " .

( Hadis riwayat bukhari )

Justeru, langkah terbaik supaya kita tidak terlepas peluang keemasan malam tersebut hedaklah kita terus beristiqamah melakukan amal ibadah dan memperbanyakkan lagi pada sepuluh malam terakhir terutama pada malam-malam ganjil. Janganlah pula kita terlalu sibukkan diri dengan mementingkan persediaan menyambut hari raya sehingga melupakan dan meringan-ringan amal ibadah .

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHANI SEKALIAN ¡

Kita semua menyedari bahawa pada waktu dan saat begini, kemeriahan menyambut awal Syawal atau hari raya semakin dirasai. Masing-masing sudah berkira-kira dan merancang perjalanan untuk pulang ke kampong atau membuat persiapan menyambut hari lebaran. Sememangnya agama Islam tidak melarang kita membuat persediaan bagi memeriahkan sambutan hari raya. Ini kerana hari raya adalah hari kemenangan kita ummat Islam melaksanakan rukun Islam ketiga dan berjaya menumpaskan hawa nafsu dan godaan syaitan.

Cuma kita diberi peringatan agar jangan mengabaikan nilai dan roh Ramadan sehingga seolah-olah ibadah puasa yang kita kerjakan langsung tiada memberi kesan yang baik kepada diri kita. Sawajarnya sembahyang terawih yang dikerjakan setiap malam Ramadan dapat membiasakan kita mengamalkan sembahyang-sembahyang sunat yang lain. Kesabaran menahan lapar dan dahaga sepanjang siang Ramadan juga sawajarnya menjadikan diri kita lebih sabar menjalani liku-liku kehidupan. Latihan kesabaran tersebut dapat membuang sikap panas baran, gopoh-gapah dan mementingkan diri sendiri yang mungkin menjadi kebiasaan kita sebelum ini . Begitu juga, berpuasa dapat mengembalikan kesihatan tubuh badan yang mungkin sebelum ini kita tidak berkesempatan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH ¡

Sesungguhnya masih belum terlewat untuk kita kembali memanfaatkan bulan Ramadan ini dengan mengamalkan amalan-amalan berikut :

  1. Berusaha membanyakkan amal ibadah pada bulan Ramadan ini seperti sembahyang terawih, membaca al-Quran, beriktikaf dan bersedekah .

  1. Berusaha mendapat kelebihan Lailatul Qadar dan keberkatan-Nya terutama pada malam sepuluh terakhir Ramadan.

  1. Sentiasa memohan keampunan dari Allah dan bembebasan dari azab api neraka.

  1. Menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah untuk diri dan tanggungannya kita.

Akhir sekali, mimbar Jumaat hari ini ingin menyeru para jamaah dan seluruh Umat Islam supaya peningkatan ibadah yang kita lakukan sepanjang Ramadan diteruskan. Begitu juga kemuliaan Sahsiah kita perlulah dipelihara. Janganlah pula kita bertukar perwatakan sebaik sahaja berakhirnya Ramadan. Seterusnya kepada yang ingin pulang menyambut hari raya dikampung, utamakan keselamatan ketika memandu dan jangan memandu mengekot perasaan, memandulah dengan mengikut peraturan dan undang-undang, janganlah kita cuai dan memandu dengan melebihi had laju yang dibenarkan kerana ia boleh mengundang kecelakaan dan membunuh disebabkan oleh kecuaian dan sikap ego kita sewaktu memandu. Sayangilah nyawa keluarga dan para pengguna jalan raya yang lain. Marilah kita berusaha untuk mengelakkan kemalangan dengan memandu secara berhemah, berdisiplin dan bertimbang rasa. Di samping sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah memohan keselamatan dan keberkatan sepanjang perjalanan kita. INSYA ALLAH . " Selamat Menyambut Hari Raya Aidul Fitri Maaf Zahir dan Batin "

اعوذ بالله من الشيطان الرجيم،


Maksudnya : " dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada-mu mengenai aku, maka ( beritahu kepada mereka ) sesungguhnya aku ( Allah ) sentiasa hampir ( kepada Mereka ), aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku ( dengan mematuhi perintahku ), dan hendaklah mereka beriman kepada aku supaya mereka menjadi baik serta betul " .

( Surah al-Baqarah ayat: 186 )

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Disediakan oleh : Jabatan kemajuan Islam Malaysia, JAKIM

( Sila semak terlebih dahulu Khutbah Jumaat ini sebelum dibaca diatas mimbar )

Sama-samalah kita ingat akan kebaikan Ramadhan ini, jangan berlebihkan "shopping" plak.

2 comments:

yaya|azura said...

alhamdulillah .. terima kasih cincan kerana berkongsi khutbah jumaat ini. :D

SALAM AIDILFITRI. MAAF ZAHIR & BATIN.

Unknown said...

Kepada yayake moga raya di Syawal ini segala ikatan dan persahatan kita akan berkekalan abadi, Selamat Menyambut Bulan Syawal.

p.s : mehlah kasi angpow kehkehkehkeh