Attention:

Members please update your information....

Click here to update!

Friday, January 15, 2010

CABARAN KELUARGA MASAKINI

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan menghayati sepenuhnya kandungan ajaran Islam agar kita dapat menyelamatkan diri dan keluarga dari azab api neraka.

Saudara-saudara sekelian,

Zaman sekarang adalah zaman yang penuh dengan perubahan yang pesat. Perubahan-perubahan ini membawa bersamanya berbagai cabaran. Berjaya atau tidak seseorang itu banyak bergantung kepada bagaimana ia menangani cabaran-cabaran tersebut.

Antara cabaran-cabaran yang kita tempuhi hari ini adalah cabaran membina sebuah keluarga yang bahagia, yang berlandaskan lunas-lunas Islam. Bagaimana kita membesarkan anak-anak kita di sekitaran yang mencabar nilai-nilai murni Islam. Bagaimana kita menyesuaikan diri kita dengan perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman ibu bapa kita.

Dewasa ini kita lihat ramai di kalangan keluarga Islam yang mana kedua- dua suami dan isteri keluar bekerja. Kita lihat semakin ramai kanak-kanak yang dijaga oleh datuk dan nenek mereka, atau dijaga oleh pembantu- pembantu rumah. Kita lihat peranan tradisional seorang ibu dan isteri terpaksa menghadapi perubahan apabila gaya hidup dan persepsi masyarakat berubah.

Sidang hadhirin yang dirahmati Allah,

Islam tidak melarang seorang isteri keluar bekerja. Islam tidak melarang seorang isteri membantu suaminya menambah pendapatan keluarga. Tetapi Islam telah menggariskan syarat-syarat dan garis pandu agar umat Islam dapat terus menikmati kehidupan yang bahagia. Islam adalah agama yang syumul. Islam adalah agama yang universal. Islam adalah agama yang tidak mengenal sempadan negara, budaya atau masa. Maka Islam telah meletakkan garis pandu tersebut untuk mereka yang ingin mencari kebahagian di dunia dan di akhirat.

Peranan suami dan isteri dalam Islam adalah jelas. Begitu juga tanggung- jawab masing-masing. Seorang suami berkewajipan menyara kehidupan isteri dan anak-anaknya. Seorang isteri berkewajipan mentaati dan menjaga hak dan maruah suaminya. Kedua-dua suami dan isteri berkewajipan membesarkan dan mendidik anak-anak mereka mengikut didikan Islam.

Maka apabila seorang isteri keluar bekerja, ia mestilah atas keizinan dan keredhaan suami. Apabila seorang isteri keluar bekerja, ia wajib memastikan bahawa keluarga dan rumah yang ditinggalkannya tidak terbengkalai. Dan biasanya, kita lihat isteri keluar bekerja adalah untuk menambah pendapatan keluarga.

Sebagai suami, sebagai ketua keluarga, kita harus menghayati beberapa perkara. Pertama: Apabila kita membenarkan isteri kita bekerja, ia tidak bermakna bahawa isteri kita mesti berkongsi kewajipan mencari nafkah. Memberi nafkah terhadap isteri dan anak-anak tetap menjadi tanggung- jawab seorang suami. Islam tidak membebankan tanggung jawab mencari rezeki ke atas isteri-isteri kita. Maka sebagai suami, kita tidak harus memerintahkan atau memaksa isteri kita keluar bekerja. Sebagai suami, kita harus berusaha sedaya upaya untuk menyara hidup keluarga kita. Sekiranya isteri bekerja, itu hanya untuk menolong suami dalam usaha menambah nafkah atau mungkin hanya sebagai pendapatan tambahan.

Kedua: Apabila isteri kita keluar bekerja, maka sebagai suami, kita harus memahami keadaan mereka. Kita tidak harus memerintahkan mereka membuat kerja rumah selepas pulang dari kerja sedangkan kita hanya duduk berehat di atas kerusi. Masing-masing telah bekerja. Masing- masing mengalami penat. Adakah patut dalam keadaan ini kaum yang lebih kuat duduk diam sedangkan kaum yang lemah diperintahkan melayaninya? Adakah ini suatu keadilan?

Sebaliknya, seorang suami harus sama-sama membantu isterinya dalam kerja-kerja rumah. Daripada kita hanya duduk di hadapan telivisyen dan mengharapkan si isteri menyiapkan makanan malam, kita sepatutnya bersama-sama mereka di dapur, membantu mereka, atau sekurang- kurangya membuat kerja-kerja rumah lain. Dengan ini, kita dapat meringankan tugas isteri kita. Ini akan mempertingkatkan kesefahaman dan merapatkan lagi hubungan antara suami dan isteri. Ini akan menambahkan rasa kasih dan sayang antara kedua pasangan tersebut dan membuat si isteri lebih menghargai sumbangan suami. Rumahtangga merupakan perkongsian hidup antara pasangan suami isteri. Memastikan kemantapannya dalam semua segi adalah tanggungjawab bersama.

Marilah kita lihat contoh kehidupan rumahtangga Rasulullah s.a.w. Beliau tidak pernah berasa keberatan untuk menolong isteri-isteri beliau dalam kerja-kerja rumah. Beliau tidak marah apabila isteri beliau tidak dapat menyediakan sarapan lantaran tiada makanan. Malah beliau hanya berkata bahawa beliau akan berpuasa untuk hari itu. Rasulullah s.a.w merupakan contoh utama bagi umat Islam. Lihat bagaimana Rasulullah s.a.w menjahit baju beliau sendiri. Seseorang Rasul yang sibuk dengan berbagai tugas dakwah, menjahit bajunya sendiri! Lihat bagaimana baginda tidak pernah memarahi isteri-isteri baginda kecuali apabila hukum Allah dilanggar. Baginda tidak marah apabila isteri-isteri baginda kurang berkemampuan melayani kehendak baginda. Inilah contoh seorang manusia yang kamil, yang lengkap. Maka benarlah apa yang disabdakan beliau:

"Orang yang paling baik diantara kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Aku adalah yang paling baik terhadap isteriku." (Hadith riwayat Tarmizi).

Begitulah bagaimana Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh agar diikuti oleh umatnya. Kita cinta terhadap Rasulullah. Kita menyambut hari kelahiran baginda. Maka adalah wajib bagi kita mencontohi kehidupan baginda sebagai tanda cinta kita terhadap baginda.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Perkara ketiga yang harus difahami oleh ibu-bapa yang bekerja zaman ini, adalah tanggung-jawab mereka terhadap anak-anak mereka. Bagaimana si anak menghadapi kekosongan didikan ibu-bapanya yang hilang bekerja selama lapan jam setiap hari. Bagaimana kita mengatasi kekosongan tersebut agar anak tadi tidak mencari kasih sayang dari teman-teman yang mungkin liar, atau dari telivisyen yang mempamerkan nilai dan gaya kehidupan yang bercanggah dengan Islam. Inilah yang harus kita renungi.

Tidak ada ganti didikan yang lebih baik daripada didikan seorang ibu. Tidak ada ganti kasih sayang bagi kasih sayang kedua ibu bapa. Adakah kita tergamak membiarkan anak kita dididik, dijaga dan dibelai oleh orang lain sedangkan kita yang bersusah payah melahirkan dan membesarkan mereka?

Oleh yang demikian apabila seorang isteri terpaksa keluar bekerja untuk menampung kekurangan nafkah keluarga, maka suaminya mesti memahami dan sama-sama membantu menyediakan masa yang sesuai untuk menjaga, mengasuh dan membelai anak-anak tersebut. Penjagaan anak-anak bukanlah satu tugas mutlak bagi isteri. Bahkan, penjagaan anak-anak adalah tanggung jawab bersama. Belaian yang diberi kepada anak-anak semasa mereka kecil lagi akan mengeratkan perhubungan kita dengan anak-anak di masa depan.

Pasangan suami isteri juga harus mengetahui pentingnya menimba ilmu pengetahuan tentang kekeluargaan. Membesarkan anak dan menjaga rumahtangga bukanlah satu perkara mudah yang boleh dipelajari menerusi pengalaman. Suami isteri harus bersedia mengambil bahagian dalam bengkel-bengkel penjagaan anak dan rumahtangga yang sering dianjurkan oleh badan-badan setempat. Bagaimanapun, sering kali berlaku perkara-perkara yang amat menyedihkan apabila kursus-kursus seperti ini dianjurkan. Ini adalah kerana rata-rata sekitar 70% daripada mereka yang hadir adalah kaum wanita, walaupun kadang-kadang topik yang dibincangkan adalah mengenai peranan ketua keluarga. Di manakah kaum bapa kita dalam hal ini?

Marilah kita merenung firman Allah s.w.t dalam surah At-Tahrim, ayat 6 yang berbunyi:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah diri kamu dan diri keluarga kamu dari api neraka yang kayu bakarnya ialah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperntahkan."

Article was taken from here.